Patuh kepada perintah Allah dan Rasul

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul dan hendaklah kamu berwaspada. Justeru itu jika kamu berpaling maka ketahuilah bahawa kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas sahaja. (Al-Maidah: 92)


HURAIAN
Ketaatan kepada Allah dan Rasul hendaklah dibuktikan dengan amalan dan perlakuan. Rasulullah s.a.w yang diutuskan untuk umat manusia telah menyempurnakan kewajipan menyampaikan dakwah iaitu seruan kebenaran sebagaimana suruhan Allah kepadanya.
Amaran Allah adalah jelas. Keingkaran untuk menerima dan melaksanakan suruhan seperti yang disampaikan oleh Rasulullah tidak memberi mudarat kepada orang lain melainkan kepada diri sendiri.
Oleh yang demikian, Allah menyeru supaya sentiasa berwaspada dan beringat kerana sesungguhnya bahawa azab dan seksaan tetap akan dikenakan kepada mereka yang bersikap degil dan ingkar.
Maka sesungguhnya jika azab dan seksa Allah s.w.t dikenakan, tidak siapa yang rugi melainkan diri sendiri.
Tanggungjawab seorang Rasul s.a.w sebagaimana yang diperintahkan kepada baginda Nabi Muhamad adalah untuk menyampaikan apa yang diperintahkan oleh Allah. Terbukti kepada kita bahawa Nabi telah menyampaikan dakwah kepada umat manusia.
Tanggungjawab kita pula adalah untuk mengikut dan beramal dengan apa yang disampaikan.

KESIMPULAN
Ketaatan yang mutlak dan wajar dilaksanakan oleh semua daripada kita adalah menyatakan dengan bersungguh-sungguh sikap dan pendirian serta amalan untuk menerima segala apa yang disuruh dan meninggalkan segala kemungkaran.
Ingatan Allah supaya kita hendaklah beringat dan sentiasa muhasabah bahawa apakah sudah segala ketaatan ini dilakukan atau sebaliknya. Yang untung dan rugi adalah kita sendiri. Rasul telah menyampaikan kebenaran. Kitalah yang membuat keputusan ke atasnya.

_________________
"Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izinMu ya Allah"

Renungan Bersama